Tuesday, September 12, 2006

Hutang Sabah meningkat jadi RM1 bilion

Wednesday, September 13, 2006

Oleh Faisal Mustaffa
Baki hutang kerajaan Negeri Sabah yang berakhir pada hujung tahun 2004 berjumlah RM1 bilion berbanding RM787.98 juta pada tahun sebelumnya.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM212.24 juta yang berpunca daripada pembiayaan projek Perumahan Awam Kos Rendah dan Bekalan Air.
Menurut sumber yang diperolehi daripada Laporan Audit Negara, Kerajaan Sabah telah meluluskan 15 pinjaman baru berjumlah RM225.87 juta bagi tujuan tersebut.
Bagaimanapun, semua pinjaman tersebut yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah itu disalurkan sepenuhnya kepada Jabatan Air.
Selain itu, baki bagi 12 pinjaman yang dijadual semula menjadi lima pinjaman, meningkat sejumlah RM3.31 juta berikutan tunggakan faedah yang ditambah kepada baki pinjaman.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bendahari Negeri Sabah, selain daripada pinjaman Negeri Sabah, hutang-hutang lain yang ditanggung oleh kerajaan Negeri ialah dari aspek Pembangunan Ekonomi Negeri yang meningkat dari RM120.37 juta (2004) ke 126.17 juta (2005).
Perbelanjaan pembangunan Negeri Sabah meningkat dengan ketara hasil daripada dua projek Bekalan Air di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur berjumlah RM260.98 juta berbanding dengan RM76.95 juta pada tahun 2004.Selain itu, Laporan Audit Negara juga melaporkan peningkatan bagi pengambilalihan tanah di bawah Jabatan Ketua Menteri sebanyak RM4.96 juta menjadi RM23.50 juta berbanding dengan RM14.04 juta pada tahun 2004.
Namun, terdapat juga penurunan dari segi perbelanjaan Negeri Sabah iaitu di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna yang menurun sebanyak RM7.42 juta menjadi RM126.899 berbanding RM7.55 juta pada tahun 2004.
Selain itu, penurunan juga berlaku di bawah Projek Pekan Baru di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan perumahan serta Projek Rancangan Tebatan Banjir yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan masing-masing yang mengalami penurunan sejumlah RM3.67 juta dan RM2.21 juta.